INTERNET
Internet ialah semua rangkaian komputer di seluruh dunia yang
disambungkan dengan rangkaian yang lebih kecil dan bergerak lebih perlahan.
Ia mempunyai amat banyak maklumat untuk dicapai oleh sesiapa sahaja, dan
ia menyediakan penghantaran maklumat serta-merta ke seluruh dunia. Ini
membolehkan manusia di seluruh dunia berkomunikasi di antara satu sama
lain dalam masa beberapa minit sahaja.
Oleh sebab Internet semakin bertambah popular, ia akan menjadi
sebahagian daripada hidup anda. Pada mulanya, Internet hanya terdapat di
dalam sistem pendidikan, perbadanan, kerajaan atau agensi lain, dan sangat
mahal serta sukar untuk mendapatkan laluan ke Internet. Pada masa ini,
Internet boleh disambung melalui pelbagai kaedah menggunakan khidmat komersil
atau Penyedia Khidmat Internet (Internet Service Provider- ISP) yang semakin
bertambah bilangannya.
Internet tidak lagi terhad kepada pakar teknikal atau individu
yang pandai komputer sahaja. Sesiapa sahaja yang ada laluan komputer boleh
menggunakan Internet sebelum dekad ini berakhir. Internet akan terus berubah
dan berevolusi.Teknologi baru akan terus muncul dan menyebabkan sesetengah
teknologi sekarang menjadi usang. Walaupun Internet berada pada tahap perkembangan
awal, inilah masanya untuk meneroka dan menjelajahi maklumat yang begitu
banyak yang didapati pada Internet.
Pertumbuhan Internet yang pesat telah mewujudkan cara baru
untuk berkomunikasi. Popularitinya dicerminkan oleh pelbagai media yang
kita gunakan pada hari ini.
Setiap hari, televisyen, radio dan media cetak mewar-warkan rujukan
URL, atau alamat lokasi Internet mereka pada penghujung rancangan masing-masing.
Banyak syarikat yang telah melabur masa dan wang mereka pada Internet.
Di antara komponen Internet yang penting ialah Web. World Wide Web
telah berkembang menjadi suatu cara baru berkomunikasi dengan jutaan manusia.
Di dalam tempoh antara bulan Julai 1995 hingga Januari 1996, bilangan komputer
yang tersambung secara langsung kepada rangkaian fizikal Internet, yang
juga dikenali sebagai hos, telah meningkat sekurang-kurangnya 70%.
Pertumbuhan Internet yang mendadak boleh dikatakan akibat
daripada perkembangan penyemak seimbas (browser) Web bergrafik yang begitu
pantas. Komponen grafik Web telah mewujudkan suatu media baru kepada banyak
syarikat untuk mengiklankan produk mereka dan untuk berkomunikasi dengan
pelanggan mereka.
Walaupun Web merupakan komponen Internet yang penting, namun
begitu ada juga bahagian-bahagian lain Internet yang dapat membawa anda
kepada penemuan yang menarik. Di antaranya ialah tapak Gopher dan FTP.
Sistem pacuan menu tapak Gopher mengandungi teks dan maklumat lain. Pelayan
FTP juga membolehkan anda memuat turun (download) fail teks dan juga fail
audio serta video. Dengan pelayan FTP, fail dari sistem yang jauh boleh
dipindahkan ke komputer pengguna.
Mel elektronik, atau e-mel merupakan satu lagi alat penting yang
boleh digunakan. E-mel menyediakan cara pantas untuk berhubung dengan orang
lain dalam jabatan yang sama mahupun di seluruh dunia. Berbanding dengan
kiriman surat melalui perkhidmatan pos yang mungkin mengambil masa beberapa
hari atau minggu, mesej e-mel dapat disampaikan di dalam beberapa minit
sahaja.
Sama seperti e-mel, kumpulan berita merupakan satu lagi cara
berkomunikasi dengan orang lain. Kumpulan berita ialah forum perbincangan
dalam Usenet, tempat pengguna bertukar-tukar fikiran tentang tajuk yang
khusus. Menghantar mesej kepada kumpulan berita sama seperti menghantar
mesej kepada semua orang dalam suatu senarai mel yang besar.
Kebanyakan alat Internet ini dapat dimasuki melalui penyemak
seimbas Web seperti Netscape Navigator atau Internet Explorer. Tapak Web,
Gopher dan FTP boleh menukar malahan membina rangkaian yang terputus. Oleh
kerana sifat Internet yang sentiasa berkembang, pengalaman Internet pengguna
akan berubah setiap kali pengguna menggunakan penyemak seimbas Web.
sumber : http://tienee.tripod.com/sistem_rangkaian_komputer